Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92, yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama ke Persidangan Majlis Mesyuarat berkenaan, ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Turut hadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet.
Semasa mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Ini merupakan mesyuarat kabinet yang pertama sejak pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu yang berkuat kuasa pada 4 Jun 2026.
Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu telah mengangkat sumpah pada Isnin, 8 Jun 2026 dengan pelantikan seramai 17 menteri dan empat Timbalan Menteri bagi tempoh empat tahun.

